Saturday, October 22, 2011

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012 oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim


MUKADIMAH
Tan Sri Yang Di Pertua
  • Izinkan saya merujuk kepada pembentangan ”Bajet 2012” oleh PM selaku Menteri Kewangan pada 7 Oktober 2011 lalu.
  • Lazimnya Belanjawan dilakar dengan maksud memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta menjamin kesateraan rakyat.
  • Namun setelah meneliti cadangan cadangan yang dibentangkan terdapat kekurangan pertimbangan dasar dan program khusus.
  • Permasalahan pokok dan sebarang rencana ekonomi tidak terlepas dari isu tatakelola pentadbiran yang baik. Hambatan besar bagi mana-mana ekonomi termasuklah ekonomi kukuh sekalipun adalah soal keutamaan dan kewibawaan institusi.
  • Amartya Sen dalam bukunya The Idea of Justice ada menyebut ,“Any theory of justice has to give an important place to the role of institutions, so that the choice of institutions cannot but be a central element in any plausible account of justice.” (Sebarang teori perihal Keadilan tidak dapat tidak mestilah memberi keutamaan kepada peranan institusi supaya institusi yang dipilih itu menjadi teras kepada maksud Keadilan tersebut. m/s 82)
  • Makanya saya berhasrat untuk mengulangi dalam Dewan Yang Mulia ini, usaha-usaha Reformasi Politik dan Institusi yang digarap Pakatan Rakyat seperti yang terkandung dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012. Antaranya adalah:
  • Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jinggatermasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;
  • Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;
  • Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;
  • Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan berkaitan tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen;
  • Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan
  • Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.
  • Suka saya mengingatkan Dewan bahawa sebarang usaha membaiki kedudukan ekonomi negara tidak akan berhasil jika tidak disertai oleh reformasi politik yang menyeluruh.
  • Sementara kedudukan ekonomi negara yang semakin goyah – bergelumang dengan masalah defisit yang kian meruncing, kelembapan ekonomi dizahirkan dalam bentuk kenaikan harga barang dan gaji rendah yang menekan rakyat. Kita tetap dijangkiti dengan keborosan, rasuah dan ketirisan.
  • Kita tidak mahu belanjawan yang baru dibentangkan minggu lepas, pada hari Jumaat 7hb Oktober lalu seumpama yang dikritik al Quran, ayat 7, Surah al Ma’un:
[Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan(kepada orang yang berhak mendapatnya)]
Tan Sri Yang Di Pertua
  • Pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung pada 4hb Oktober 2011, 4 hari sebelum pembentangan belanjawan kerajaan memberi kesempatan kepada rakyat untuk menilai.
  • Mustahak untuk saya tegaskan, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 pastinya mengambil pendekatan reformasi dasar untuk mengubah struktur ekonomi dan membaiki kepincangan sistem manakala belanjawan Barisan Nasional ternyata  mengekalkan beberapa program baru yang dikitar semula tanpa kesediaan merombak struktur usang.
BAB 1: BELANJAWAN YANG TIADA WIBAWA
  • Perdana Menteri senang sekali memilih jalan yang paling beliau mahir dan gemari iaitu sekadar usaha penjenamaan semula dan kitar semula. YAB Perdana Menteri kitar semula pelbagai program yang telah gagal, janji yang tidak terlaksana tetapi diberi nama baru dengan pelbagai program penjenamaan semula itu melibatkan perbelanjaan yang besar.
  • Perbelanjaan RM232.8 bilion yang diumumkan adalah berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.
  • Unjuran defisit pada angka 4.7% ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012.
  • Unjuran pertumbuhan pada 5% – 6% bagi tahun 2012 perlu dibidas keras kerana ianya ternyata terlalu tinggi sedangkan analisa dari sumber-sumber lain menunjukkan pertumbuhan yang lebih rendah.
  • Berikut adalah unjuran pertumbuhan terpilih yang dibuat bagi tahun 2011 dan 2012:
  • Bank Dunia – 4.8% bagi tahun 2011 dan 5.7% bagi tahun 2012;
  • MIER – 5.2% bagi tahun 2011 dan 5.5% bagi tahun 2012;
  • RHB – 4.3% bagi tahun 2011 dan 4.5% bagi tahun 2012
  • Kesemua unjuran ini dibuat sebelum IMF memotong unjuran pertumbuhan dunia kepada 4% pada pertengahan September baru-baru ini; yang bermakna angka-angka terkini sudah tentu lebih rendah dari paras 5% bagi tahun 2011 dan 2012.
  • Unjuran yang lebih mutakhir dibuat oleh Bank Pembangunan Asia di dalam “Asian Development Outlook 2011” yang diterbitkan pada pertengahan September, mengambil kira risiko ketidaktentuan ekonomi global akibat krisis hutang yang dialami Amerika Syarikat dan Eropah serta kesan lanjutan dari peristiwa gempa bumi dan tsunami di Jepun.
  • Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2011 sekadar 4.8% dan hanya menokok kepada 5.1% dalam tahun 2012; jauh berbeza dari angka yang terlalu optimistik yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 iaitu pertumbuhan di antara 5% hingga 5.5% bagi tahun 2011 dan kekal pada 5% hingga 6% bagi tahun 2012.
  • Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi dari PETRONAS.
  • Kadar pertumbuhan purata kutipan cukai langsung (tidak termasuk cukai petroluem) oleh kerajaan adalah 9.6% di antara tahun 2008 hingga 2011. Kadar pertumbuhan purata kutipan cukai tidak langsung bagi tempoh yang sama adalah lebih rendah, hanyalah sekitar 5.6%[1].
  • Pada kadar pertumbuhan sebegini, anggaran kami menunjukkan jumlah pendapatan RM186.9 bilion hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan meneruskan amalan mengenakan dividen tinggi sekitar RM30 bilion setiap tahun dari PETRONAS, sedangkan amalan tidak bertanggungjawab ini akan melemahkan keupayaan PETRONAS melabur semula keuntungannya untuk mencari rizab baru minyak dan gas di seluruh dunia.
  • Sebab itu, Pakatan Rakyat mengesyorkan supaya kerajaan mengurangkan lagi jumlah dividen yang dibayar oleh PETRONAS bagi tahun 2012 kepada RM26 bilion sahaja, seperti yang termaktub di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012. Jumlah yang lebih kecil ini akan mengajar kerajaan berjimat cermat dan mengamalkan disiplin fiskal untuk mengekang hutang negara.
  • Apa kesannya apabila kerajaan menggunakan unjuran-unjuran pertumbuhan ekonomi dan jumlah pendapatan yang terlalu optimistik dan tidak realistik?
  • Pertamanya, ia akan memburukkan lagi keadaan defisit negara kerana dakwaan Perdana Menteri bahawa belanjawan 2012 akan membawa defisit ke paras 4.7% dari KDNK adalah tidak benar, selain tidak mengambil kira kecenderongan Barisan Nasional berbelanja lebih dan menyeludup peruntukan baru melalui belanjawan tambahan di pertengahan tahun.
  • Keduanya, ia mengenepikan keperluan mendesak untuk mengamalkan disiplin fiskal dan pendekatan berbelanja wang rakyat dengan berhemah, pada kala ia sangat penting demi menjamin kelangsungan kewangan dan pertumbuhan sihat ekonomi negara.
  • Namun, kerajaan Umno-Barisan Nasional jangan sangka rakyat mudah tertipu dengan hamburan data-data yang digunakan. Angka yang dipersembahkan kononnya untuk memberi gambaran bahawa keadaan defisit dan hutang dalam keadaan terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat Barisan Nasional membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun.
  • Tabiat seperti itu menzahirkan niat sebenar pentadbiran ini untuk membelanjakan dana awam sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 dan 2011.
  • Saya ingin mengambil masa yang pendek untuk memperincikan analisa peruntukan yang dibuat Perdana Menteri bagi belanjawan 2012. Di bawah Barisan Nasional, 78% dari keseluruhan peruntukan belanjawan 2012 digunakan bagi tujuan menguruskan perjalanan kerajaan; suatu jumlah yang sangat tinggi dan mengalihkan sumber kewangan negara dari bidang-bidang ekonomi yang mempunyai kesan gandaan. Jumlah ini juga terus meningkat saban tahun dan jika tidak dibendung, peruntukan belanjawan bagi tujuan pembangunan dan pelaburan dalam bidang ekonomi dan sosial akan semakin mengecil di masa –masa akan datang.
  • 11 kementerian-kementerian utama diperuntukkan wang yang lebih tinggi bagi perbelanjaan mengurus bagi tahun 2012 sedangkan jumlah bagi tujuan pembangunan adalah lebih kecil. Saya ingin mempersoalkan apakah tiada langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengekang perbelanjaan operasi kementerian-kementerian yang semakin tidak terkawal ini?
  • Contoh-contoh terpilih yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:
  • Walaupun Perdana Menteri mengurangkan peruntukan dari Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM2.98 bilion, jumlah ini nampaknya diagihkan pula kepada beliau sendiri  melalui Kementerian Kewangan yang peruntukan pembangunannya melonjak 208%.
  • Malah, perbelanjaan operasi di kedua-dua kementerian yang dipimpin Perdana Menteri akan melonjak sebanyak 12% di Jabatan Perdana Menteri dan 15% di Kementerian Kewangan; bertentangan dengan desakan rakyat agar Perdana Menteri mengurangkan pergantungan beliau kepada juru runding luar negara dan pakar media yang mahal dan mengenepikan pendapat pimpinan penjawat awam.
  • Perbelanjaan operasi di Kementerian Kerja Raya akan melonjak sebanyak 29%, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak 61% dan Kementerian Dalam Negeri sebanyak 25%. Peningkatan kos ini adalah sangat besar dan menimbulkan tanda tanya apakah ini peruntukan projek-projek kecil dan segera bagi menenangkan tuntutan kontraktor-kontraktor yang rapat dengan kerajaan di akar umbi?
  • Dewan juga perlu memberi perhatian kepada potongan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran. Perbelanjaan operasi akan dipotong 3% sementara perbelanjaan pembangunan dipotong sebanyak 28%.
  • Sebab itu, rakyat tidak teruja dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa yuran sekolah rendah dan menengah akan dihapuskan kerana jelas penghapusan ini akan dibiayai pula melalui potongan peruntukan yang lain. Keadaan ini tidak ubah seperti Belanjawan 2011 bila mana Perdana Menteri secara senyap-senyap memotong peruntukan operasi pendidikan sehingga bilangan hari di asrama dan peruntukan-peruntukan lain dikurangkan. Makanya, rakyat akan tetap menanggung kos pendidikan yang dibayar kepada pihak sekolah, sama ada melalui sumbangan PIBG atau pelbagai bayaran lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah bagi menampung kos operasi.
Tan Sri Yang diPertua,
  • Di sebaliknya Pakatan Rakyat mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4% hingga 4.5% bagi tahun 2011 dan 2012. Jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 diunjurkan mencecah RM181.3 bilion. Berdasarkan angka-angka ini, sasaran defisit 4.4% bagi tahun 2012 adalah realistik dan mempunyai kesan besar kepada usaha negara mengekang hutang.
  • Justeru saya mencadangkan pada hari ini supaya Dewan meletakkan syarat sekiranya pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kurang dari 5.5% dan suku pertama 2012 kurang dari 6%, maka Dewan akan bersidang semula untuk memotong belanjawan RM232.8 bilion yang dibentangkan pada 7 Oktober dan diunjurkan ke angka RM220 bilion seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.
BAB 2: ASAS EKONOMI YANG MASIH RAPUH DALAM SUASANA EKONOMI GLOBAL TIDAK MENENTU
  • Perdana Menteri juga mewar-warkan seolah-olah ekonomi Malaysia sudah rancak semula dengan menyebut kejayaan menarik pelaburan asing (FDI) dalam tahun 2010 dan separuh tahun pertama 2011. Malangnya, beliau hanya menyebut prestasi Malaysia semata-mata tanpa perbandingan dengan aliran pelaburan sejagat atau prestasi-prestasi negara-negara pesaing di rantau ini.
  • Hakikatnya, prestasi pelaburan asing yang masuk ke Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik. Peningkatan 6 kali ganda yang disebut oleh Perdana Menteri bagi tahun 2010 adalah kerana nilai pelaburan yang sangat rendah dalam tahun 2009, maka angkanya nampak lebih gah bila dibandingkan dengan asas yang sebegitu rendah.
  • Saya merujuk perhatian dewan kepada laporan “FDI Global Outlook Report” yang diterbitkan oleh Financial Times, edisi terbaru keluaran Mei 2011 sebagai rujukan yang lebih menyeluruh untuk menggambarkan prestasi pelaburan asing Malaysia.
  • Rujuk mukasurat 14 yang menyenaraikan perbandingan destinasi pelaburan terbaik di rantau Asia Pasifik bagi tahun 2010:
  • Senarai 5 negara teratas berdasarkan jumlah projek pelaburan adalah Cina, India, Singapura, Australia dan Thailand. Malaysia tidak termasuk di dalam senarai.
  • Senarai 5 negara teratas mendapat pelaburan berdasarkan jumlah pelaburan diketuai oleh China, India, Australia, Vietnam dan Singapura. Malaysia juga tidak termasuk di dalam senarai.Malah, jumlah pelaburan asing yang masuk ke Vietnam dalam adalah RM87 bilion dan Singapura sebanyak RM39 bilion, berbanding jumlah RM29 bilion yang diperolehi negara dalam tahun 2010.
  • Jika Malaysia mensasarkan pelaburan asing dalam industri berteknologi tinggi, kita semestinya ketinggalan jauh berbanding Singapura dan Australia.
  • Jika Malaysia ingin bersaing untuk mendapatkan pelaburan asing dalam bidang pembuatan dan perkilangan, kita ditewaskan pula oleh Vietnam dan Bangladesh.
  • Oleh itu, dewan perlu lebih berhati-hati dengan data-data yang dipersembahkan Perdana Menteri kerana ia mengenepikan gambaran keseluruhan kedudukan ekonomi negara.
  • Sebab itu juga agaknya, Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai keadaan hutang negara yang semakin meruncing.
  • Jumlah hutang negara yang telah mencecah RM437 bilion pada akhir Jun 2011 seperti angka rasmi Bank Negara Malaysia adalah paras tertinggi hutang negara dalam sejarah Malaysia.
  • Laporan Majlis Kewangan Negara 2010 mukasurat 120 mencatatkan pola keberhutangan awam negara di antara tahun 1970 hingga 2009. Perenggan dua merujuk kepada usaha berterusan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK dalam tahun 90an hingga mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 31.9% pada tahun 1997.
  • Menurut laporan itu lagi, saya petik: “.. paras terendah 31.9% pada tahun 1997 didorong oleh pemulihan ekonomi negara yang pantas, pelaksanaan dasar fiskal berhemat serta pengurusan hutang yang berkesan. Ini telah membolehkan Malaysia mencatat lebihan fiskal di antara tahun 1993 dan 1997..”
  • Laporan ini dikeluarkan oleh kementerian yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, oleh itu wajarlah Perdana Menteri mengambil iktibar tentang peri pentingnya kaedah pengurusan hutang yang berkesan dalam menjamin kelangsungan kewangan negara.
  • Belanjawan 2012 malangnya dijangka akan mengabaikan beberapa garis panduan jumlah hutang yang digunapakai oleh negara selama ini.
  • Pertamanya, jumlah hutang negara akan terus meningkat. Jumlah terbitan hutang dalam tahun 2010 adalah RM64.7 bilion sementara jumlah hutang yang akan matang dalam tahun 2011 telah mencecah RM44.5 bilion, berbanding RM23.4 bilion tahun sebelumnya.
  • Kedua, pertambahan hutang negara yang mendadak ini bermakna jumlah peruntukan belanjawan setiap tahun yang digunakan untuk membayar faedah dan perkhidmatan hutang akan semakin menghampiri had panduan nisbah bayaran khidmat hutang kepada KDNK pada kadar purata 3.5% yang digunapakai selama ini.
  • Bagi tahun 2012, peruntukan bayaran khidmat hutang telah melonjak kepada RM20.5 bilion berbanding hanya RM12.8 bilion dalam tahun 2008. Kos hutang ini akan bernisbah sebanyak 2.3% berbanding KDNK dan pada kadar pertambahan hutang sebegini rupa, garis had nisbah 3.5% dari KDNK ini bakal dilepasi dalam tempoh masa 5 tahun akan datang.
Tan Sri Yang diPertua,
  • Perdana Menteri juga menyandarkan angka pertumbuhan 5% – 6% bagi tahun 2012 kepada perbelanjaan rakyat yang kononnya akan merancakkan penggunaan domestik (domestic consumption).
  • Walaupun perbelanjaan domestik adalah penting untuk menampung pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, sandaran kepada perbelanjaan rakyat untuk meransang pertumbuhan ekonomi perlu lebih realistik mengambil kira faktor harga barang meningkat dan gaji rakyat yang tersekat di takuk lama.
  • Sebab itu Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengambil keputusan memperkenalkan kembali cukai dan eksais ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, alat kosmetik, celana dalam dan lain-lain kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak sedangkan kos pelepasan cukainya ditanggung oleh kerajaan.
  • Makanya, kita wajar perihatin dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbeban dengan jumlah hutang yang membimbangkan. Pada akhir tahun 2010, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77% dari KDNK negara. Nisbah jumlah hutang isi rumah kepada KDNK ini telah meningkat dua kali ganda semasa saya menjawat Menteri Kewangan iaitu 33% dalam tahun 1997, kepada 77% apabila Perdana Menteri mengemudi Kementerian Kewangan di akhir tahun 2010.
  • Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang rumah kereta dan rumah.
  • Lantaran itu, rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan yang daif. Masih ada golongan pekerja yang diperlakukan seperti khadam dan dibayar gaji di bawah paras kemiskinan. 40% dari rakyat Malaysia tinggal di dalam isi rumah yang pendapatan bulanannya kurang dari RM1,500. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh Umno-Barisan Nasional.
  • Kekayaan negara pula dipusatkan kepada segolongan kecil golongan kaya dan mahakaya. 50% kekayaan dan pendapatan yang dijana oleh ekonomi negara dibolot oleh golongan 20% terkaya, sedangkan golongan 40% terbawah tadi yang rata-ratanya Melayu/Bumiputra tidak ubah seperti melukut di tepi gantang yang hanya mendapat 15% dari kekayaan dan pendapatan yang dijana.
  • Manakala itu masih wujud fenomena ketidakseimbangan di antara keperluan tenaga mahir dan tuntutan industri, serta pergantungan kepada pekerja asing yang memberi kesan yang bukan sedikit kepada pasaran kerja. Ini menyebabkan aliran wang tunai keluar negara sebanyak RM22 bilion setahun sekaligus masih menjadi persoalan ekonomi mendesak yang perlukan penyelesaian segera.
  • Sebaliknya, Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri mengelak sepenuhnya dari menjawab persoalan kerangka asas ekonomi seperti yang saya perincikan tadi.
  • Ada perbezaan yang besar di antara perubahan dasar yang membawa impak ekonomi yang berkekalan dengan membaiki kerangka dan sistem ekonomi, berbanding dengan pengumuman-pengumuman pemberian peruntukan dan hadiah wang tunai bagi satu tahun sahaja seperti yang dibuat Perdana Menteri.
  • Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat mengambil pendekatan dasar untuk membaiki kerangka ekonomi negara.
  • Di antara tawaran Pakatan Rakyat yang sangat penting untuk membaiki struktur ekonomi negara adalah untuk memastikan dasar gaji minima terlaksana. Apa yang sangat ditakutkan kepada dasar gaji minima, sedangkan kajian Bank Dunia menunjukkan kadar RM1,100 seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat mampu ditanggung oleh majikan dan ekonomi. Perdana Menteri seolah-olah lebih mengutamakan lobi taukeh-taukeh besar dan kroni mahakaya daripada keperluan jutaan rakyat yang sangat mengharapkan satu anjakan gaji yang menyeluruh meliputi semua 12 juta tenaga kerja di negara ini, bukannya gula-gula yang hanya memikat pekerja sektor awam tetapi mengenepikan kebajika 90% tenaga kerja yang lain.
  • Oleh kerana pendekatan Belanjawan 2012 kerajaan Umno-Barisan Nasional adalah penjenamaan semula yang pastinya akan melibatkan banyak peruntukan pengiklanan dan perunding, Dewan berhak tahu secara teperinci berapa yang telah diperuntukkan kepada firma-firma asing dan tempatan bagi tujuan pengiklanan dan putar belit (spin). Berapa juga jumlah kontrak bagi tujuan ini yang telah ditandatangani?
BAB 3: PENJENAMAAN SEMULA PROJEK DAN DASAR GAGAL
  • Telah pun saya tegaskan program-program yang diumumkan oleh Perdana Menteri merupakan ulangan program-program yang telah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia atau belanjawan, akan tetapi tidak berjaya membawa sebarang hasil ataupun gagal dilaksanakan.
  • Sedangkan wang rakyat berbilion-bilion ringgit dibelanjakan untuk membiayai program-program yang gagal mencapai matlamat itu. Kini, sekali lagi rakyat berdepan dengan beban kewangan untuk melaksanakan program-program yang gagal ini.
  • Tiga contoh terbaik yang boleh saya huraikan, pertamanya,pengumuman-pengumuman yang melibatkan usaha menjamin kelangsungan bekalan makanan dengan memajukan sektor pertanian. Kedua, naiktaraf infrastruktur dan jaringan bekalan air dan elektrik luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak danketiga, pengumuman yang menyentuh usaha mewujudkan rumah mampu milik kepada rakyat.
  • Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk mengekang impot makanan dan menjamin food sovereignty (kedaulatan negara melalui bekalan makanan yang terjamin) sejak 10 tahun yang lepas. Selain menjadi teras utama RMK8, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion sepanjang RMK9 untuk mencapai hasrat ini selain dari meletakkan pengurangan sasaran impot makanan kepada RM14.3 bilion sahaja menjelang akhir 2010.
  • Izinkan saya untuk memberikan beberapa contoh kegagalan tersebut: Projek ternakan feedlot yang menelan belanja sekitar RM250 juta yang membabitkan suami dan anak seorang menteri di dalam kabinet Perdana Menteri. Soalan ini yang saya bangkitkan sejak tahun lepas tidak pernah dijawab oleh Perdana Menteri mahupun menteri yang bertanggungjawab. Peruntukan sedemikian rupa jumlahnya sama dengan potongan subsidi gula yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
  • Selain itu apakah nasib Terminal Agrobisnes Nasional yang tidak digunapakai dan kini menjadi projek gajah putih? Puluhan jutaan ringgit dibelanjakan tetapi objektif penggunaannya tidak pernah tercapai, kini dijenamakan kembali oleh Perdana Menteri di dalam belanjawan terkini beliau.
  • Manakala kegagalan tersebut belumpun dijawab, tiba-tiba kerajaan berhasrat melancarkan satu lagi dasar iaitu Dasar Agro Makanan Kebangsaan, kononnya untuk merangka hala tuju industri makanan dan menjamin bekalan makanan. Bukankah semuanya sudah pun diputuskan dalam RMK8 hingga RMK10 dan dasar-dasar yang lain. Saya harus mengingatkan dewan bahawa yang tergelincir bukannya dasar tetapi matlamat akibat penyelewengan, rasuah dan tiadanya tata kelola yang baik.
  • Belanjawan 2012 mengulangi kembali janji-janji dalam belanjawan yang lepas, RMK8 hinggalah RMK9; cuma kini dijenamakan semula. Kalau dulu dipanggil TEMAN (Terminal Agrobisnes Nasional), kini mahu dijenamakan pula sebagai Pusat Transformasi Desa. Kalau dulu tabungnya dipanggil Tabung Jaminan Makanan, kini tabung kononnya turut melibatkan Dana Pengkomersilan Pertanian.
  • Walaupun berpuluh bilion telah dibelanjakan sejak tahun 2000 untuk mengurangkan import makanan, ia terus melonjak akibat kegagalan dasar dan projek yang lebih bermotifkan penyelewengan wang rakyat, bukannya demi kepentingan negara.
  • Bank Negara Malaysia di dalam perangkaan perdagangan luar negeri Disember 2010 menyatakan bahawa import makanan telah mencecah RM30 bilion.
  • Statistik ini turut disokong oleh jawapan kepada pertanyaan di dalam dewan, bahawa import makanan telah meningkat dari RM17.7 bilion dalam tahun 2005 kepada RM26.7 bilion dalam tahun 2009 pada kadar pertumbuhan 10.2% setiap tahun, membuktikan kegagalan 10 tahun berturut-turut dasar dan pelaksanaan program di bawah Umno-Barisan Nasional yang kini dijelmakan kembali oleh Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012.
Tan Sri Yang diPertua,
  • Kita sudah bertukar 3 Perdana Menteri tetapi kita masih bercakap perkara yang sama. Kemahiran yang mereka ada hanyalah menjelmakan dan menjenama semula dasar lama yang gagal. Barangkali ini semua merupakan nasihat perunding asing yang mahal-mahal belaka.
  • Begitu juga dengan soal membangunkan prasarana desa dan di Sabah serta Sarawak.
  • Misalnya baru-baru ini Perdana Menteri mengakui bahawa prasarana perbekalan air di kawasan-kawasan FELDA sudah berusia 50 tahun dan sangat daif. Maknanya selepas beratus-ratus dasar digarap, pelbagai janji ditaburkan kepada warga FELDA, hakikatnya masyarakat FELDA belum mempunyai system perbekalan air yang sempurna. Masalah ini turut berlaku di Sabah dan Sarawak.
  • Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri mengumumkan seolah-olah perkara-perkara ini adalah keprihatinan baru demi membantu rakyat, sedangkan sewajarnya adalah untuk memohon ampun dan maaf kepada rakyat kerana terlewat 50 tahun menjaga keperluan asas mereka.
  • Nasib yang sama juga menimpa projek menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Barisan Nasional gagal menyediakan perumahan mampu milik sedangkan pelbagai agensi telah dipertanggungjawabkan selama ini. Berbilion ringgit wang rakyat telah diperuntukkan saban tahun dan disalurkan kepada kontraktor dan syarikat yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional, tetapi memiliki rumah mampu milik seolah-olah mimpi ngeri buat rakyat Malaysia.
  • Syarikat Perumahan Negara Berhad ditubuhkan sebagai agensi kerajaan membantu menyediakan perumahan rakyat. Kini, Perdana Menteri menubuhkan pula agensi baru yang dikenal sebagai PR1MA kononnya sebagai agensi tunggal untuk membangunkan rumah-rumah mampu milik di tanah-tanah nilai perdana kerajaan seperti Sungai Buloh, Sungai Besi dan kawasan-kawasan sekitar MRT/LRT.
  • Pengumuman ini memunculkan dua keraguan. Pertama, bukankah fungsi itu bertindih dan serupa dengan SPNB? Kenapa perlu ditubuhkan agensi baru yang akan menelan belanja pentadbiran yang baru untuk menjalankan tugas yang sama?
  • Kedua, kenapa PR1MA diberikan tugasan lumayan membangunkan rumah mampu milik di tanah milik kerajaan yang paling bernilai? Apakah PR1MA juga akan menjadi pemaju tidak ubah seperti SPNB, seterusnya melibatkan peruntukan ratusan juta dari wang rakyat dan kerjasama swasta?
  • Oleh itu, Dewan wajar menegur Perdana Menteri dan seluruh kabinetnya yang giat menubuhkan unit-unit baru dan pelbagai inisiatif pengiklanan baru seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2012, kerana ini membebankan rakyat.
  • Izinkan saya menarik perhatian Dewan yang Mulia ini kepada pengumuman menubuhkan Yayasan Inovasi Malaysia. Yayasan tersebut diwujudkan dan dibarisi oleh golongan mahakaya seperti Tan Sri Lim Khok Thay, individu yang dekat dengan Perdana Menteri seperti Rohana Tan Sri Mahmood dan ahli-ahli politik Barisan Nasional untuk mengendalikan program-program invoasi kelolaan Kementerian Sains Teknologi.
  • Kita tertanya-tanya berapakah kos pentadbiran yayasan-yayasan seperti YIM ini? Daripada peruntukan ratusan juta untuk program-program promosi ini, berapa yang diberikan kepada YIM untuk menganjurkan beberapa seminar antarabangsa?
  • Projek sebeginilah yang merugikan rakyat dan menelan belanja yang besar tanpa manfaat kepada rakyat.
  • Apa yang merisaukan beberapa pendekatan Perdana Menteri telah terbukti gagal manakala inisiatif tersebut terkait dengan kepentingan awam. Beliau mengumumkan pelbagai insentif cukai yang lumayan kepada golongan niagawan terutamanya bagi projek-projek kesayangan dan berkepentingan kepada beliau seperti Kuala Lumpur International Financial District (Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur)
  • Belanjawan 2012 menjanjikan pelepasan cukai kepada pemaju hartanah di KLIFD sebanyak 70% bagi tempoh 5 tahun. Kita boleh mencongak berapa jumlah cukai yang akan dilepaskan begitu sahaja kepada kroni-kroni yang mengusahakan projek mewah ini.
  • Pengumuman awal menyebut keseluruhan projek hartanah itu bakal menelan belanja RM26 bilion. Kalau kadar keuntungan kasarnya adalah sekitar 20% iaitu kadar biasa projek-projek hartanah mewah, maka keuntungan kasar yang sepatutnya dikenakan cukai adalah RM5.2 bilion. Pada kadar cukai korporat 25%, ini bermakna sebanyak RM1.3 bilion wang rakyat akan bolos ke tangan kroni.
  • Tidak cukupkan tanah Sungai Besi yang paling berharga milik rakyat itu diserahkan kepada 1MDB yang dikawal oleh individu yang rapat dengan Perdana Menteri? Siapa yang sering dikaitkan dengan pembangunan KLIFD ini kalau bukan Jo Thaek Low.  Kalau dikaji projek mega KLIFD ini, ternyata ia tidak memanfaatkan rakyat terbanyak dan memberi keuntungan yang lebih kepada:
  • Perunding – luar negara atau yang dekat dengan pemerintah, termasuklah CIMB yang selalu terbabit di dalam urusan-urusan besar kewangan negara
  • Pembinaan – pastinya dianugerahkan kepada mereka yang dekat dengan pemerintah.
  • Bekalan – sebahagian besar peralatan dan bahan akan diimport dari luar negara seperti kebiasaan pembinaan mercu tanda megah di bawah Umno-Barisan Nasional atau dianugerahkan kepada syarikat kroni
  • Tenaga pembinaan – rata-ratanya akan menggunapakai buruh asing
  • Tenaga kerja di KLIFD kelak – sebahagian besar terdiri dari juru analisa kewangan antarabangsa dan hanya sedikit rakyat Malaysia yang berpeluang bekerja di situ
  • Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat mengesyorkan kepada Dewan supaya Perdana Menteri memberi jaminan-jaminan berikut:
  • Hentikan insentif berlebihan yang menyebabkan kutipan cukai berkurangan termasuk insentif kepada KLIFD, sebelum kerajaan berniat melaksanakan GST;
  • Perdana Menteri perlu umumkan kepada rakyat dan dewan bila GST akan dilaksanakan supaya rakyat dapat mengundi berdasarkan rancangan pelaksanaan GST pada PRU13;
Dan
  • Dewan perlu menghentikan sikap jelik yang menghina rakyat; menyalahkan bayaran subsidi semata-mata, sedangkan insentif-insentif yang melampau turut melibatkan banyak ketirisan kepada wang negara dan pendapatan yang berkurangan
  • Sekiranya diberi peluang untuk mentadbir negara, Pakatan Rakyat beriltizam memastikan mana-mana perjanjian atau insentif yang tidak telus dan membelakangkan kepentingan rakyat akan dirujuk kepada Suruhanjaya Perjanjian Awam, yang akan ditubuhkan demi untuk menilai semula segala perjanjian ini.
BAB 4: KRONI DIDAHULUKAN, PROJEK DIUTAMAKAN
Tan Sri Yang diPertua
  • Belanjawan 2012 menzahirkan ketagihan BN kepada rasuah dan penyelewengan. Tidak ada tanda-tanda ketagihan ini akan reda, kerana pelbagai pengumuman yang dibuat jelas akan menguntungkan pihak-pihak berkepentingan semata-mata.
  • Saya ingin merakamkan kekesalan kepada dewan kerana cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holding yang merupakan mercu tanda dan harta rakyat yang sensitif langsung tidak dibahaskan terlebih dahulu di dewan ini, sebelum dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam belanjawan.
  • Saya bukanlah menentang sebarang usaha untuk mengembangkan saiz pasaran saham dan menarik pelabur asing ke Bursa Malaysia, tetapi persoalan yang membabitkan institusi Melayu/Bumiputra dan harta rakyat yang dibina oleh 3 generasi rakyat Malaysia ini perlukan perdebatan ikhlas dan ilmiah di dewan ini terlebih dahulu.
  • Perdana Menteri seharusnya mengambil kira risiko kewangan dan pasaran yang akan mendedahkan Felda kepada susut nilai pasaran mirip kepada nasib yang sedang menimpa MAS, sekiranya penyenaraian ini tidak disertakan dengan tata kelola yang baik, pengurusan yang telus dan bebas dari campur tangan politik dan diperkuatkan dengan segala langkah mengelakkan manipulasi pasaran dan spekulasi.
  • Harga pasaran saham MAS telah susut sehinggakan harga semasanya hanyalah sekitar 37% berbanding harganya sekitar tahun 1993 hingga 1995. Walaupun asetnya besar dan saiz operasinya berlipat kali ganda berbanding AirAsia, harga sahamnya turun naik dan sekarang ini hanyalah 50% dari harga saham AirAsia.
  • Kita perlu berwaspada supaya nasib yang sama tidak menimpa Felda, maka keputusan sebesar itu sewajarnya dibahaskan di dewan ini agar prasyarat berhubung kemantapan pengurusan, amalan tata kelola baik yang ketat dan nilai tambah dapat diambil kira.
  • Janganlah kerajaan mengulangi kesilapan dalam penggabungan tiga gergasi perladangan iaitu Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope yang disandarkan semata-mata kepada yuran rundingan dan laba yang bakal diperolehi oleh para perantara (broker) dan penasihat termasuklah CIMB yang rapat dengan Perdana Menteri.
  • Perdana Menteri juga mengumumkan pembinaan projek-projek melalui kaedah perkongsian awam dan swasta (PPP) termasuklah pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak melibatkan perbelanjaan RM700 juta.
  • Saya memberi ingatan supaya projek ini dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bertata kelola termasuklah dengan memastikan ia menggunakan bidaan terbuka, supaya harganya berpatutan kerana kita faham bila sahaja dipanggil perkongsian awam dan swasta, maknanya perkongsiannya begini: untung dikaut oleh swasta, kerugian dan kos ditanggung oleh awam dan rakyat.
  • Saya juga kesal dengan cara Perdana Menter yang tidak segan silu mengumumkan projek-projek yang bermasalah kerana diberikan kepada krono seolah-olah ia projek baru demi kesejahteraan rakyat. Peruntukan projek pembangunan dibawah RMK10 bagi tahun 2012 berjumlah RM49.2 bilion contohnya melibatkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu yang tidak siap-siap dan telah pun menelan belanja yang tinggi, akibat pembabitan pihak-pihak yang berkepentingan sedangkan fasa yang dibina oleh MTD di antara Sungai Besi ke Ajil telah pun dibuka.
  • Akhir sekali, saya wajar menyentuh mengenai peruntukan RM40 juta untuk membina lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia.
  • Saya tidak begitu mempersoalkan tindakan kerajaan mahu memberi bantuan melalui subsidi barangan secara terus di kedai-kedai runcit. Saya juga tidak mahu mempersoalkan cara Perdana Menteri menggunakan wang rakyat untuk terus mempromosikan jenama 1Malaysia beliau, asalkan rakyat mendapat manfaat.
  • Namun, kenapa hanya satu pihak dan pengusaha iaitu Mydin yang dipilih untuk mendapat bantuan subsidi terus ini, sedangkan pembinaan lebih banyak kedai sebegini akan mematikan kedai-kedai runcit rakyat terbanyak di seluruh Malaysia?
  • Apakah kerajaan tidak boleh mencari sebuah kedai runcit yang maju dan berdaya saing di setiap daerah yang ingin dibantu, agar bantuan tersebut akan memberi lebih manfaat kepada lebih ramai pengusaha kedai runcit, bukannya membantu melebarkan sayap pengusaha sebuah pasaraya besar yang akan mematikan pengusaha kecil di kampung-kampung? Sudahlah selama ini mereka terpaksa bersaing dengan pasaraya besar, kini kedai runcit pun mahu dibolot dan diberi bantuan terus oleh kerajaan.
  • Sebab itu saya memohon dewan menerima hakikat bahawa belanjawan 2012 ini tidak lebih dari senarai hadiah-hadiah kepada kroni dan golongan berkepentingan. Ratusan billion akan dibelanjakan semata-mata kerana kroni akan diterus didahulukan, projek-projek diberi keutamaan, kemudian sisa bakinya barulah diagihkan kepada rakyat.
BAB 5: ANJAKAN STRUKTUR EKONOMI
Tan Sri Yang diPertua
  • Dewan yang mulia seharusnya sedar pengumuman-pengumuman yang terkandung dalam Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri adalah gula-gula yang membebankan rakyat tetapi tidak menghasilkan sebarang anjakan perubahan kepada struktur ekonomi negara.
  • Pengumuman kenaikan gaji dan bonus kepada kakitangan awam adalah tidak berasaskan kepada sebarang pendekatan ekonomi, berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat melalui pengenalan gaji minima yang akan memanfaatkan kesemua tenaga kerja di negara ini.
  • Sebab itu kerajaan tidak boleh memandang remeh kemarahan pekerja sektor swasta yang merasakan mereka diketepikan semata-mata kerana kerajaan ingin memikat undi dari penjawat awam.
  • Begitu juga dengan pelepasan cukai berkaitan teksi yang membabitkan jumlah maksima bantuan sebanyak RM7,560 setahun. Perdana Menteri boleh berpura-pura berbangga dengan bantuan itu, tetapi jangan lupa rintihan sebenar pemandu teksi dibebankan sejumlah RM21,000 setahun kerana bayaran kepada pemegang konsesi. Bantuan RM7,560 setahun itu pun hanyalah kepada mereka yang memilih untuk menukar kenderaan teksi, tetapi bagi sebahagian besar pemandu teksi mereka masih perlu membayar yuran yang mencekik darah kepada pemegang konsesi lesen teksi, sebahagiannya terdiri dari Yang Berhormat di dalam dewan ini.
  • Perdana Menteri menyenaraikan beberapa subsidi makanan yang diberikan kepada rakyat seolah-olah ia diberikan ehsan kerajaan. Janganlah kita lupa bahawa amanah mentadbir wang rakyat itu datangnya dari rakyat dan ia boleh ditarik balik bila-bila masa, seperti kerajaan sewenang-wenangnya menarik subsidi sehingga menaikkan harga barangan.
  • Kerajaan berbangga dengan subsidi gula 20 sen setiap kilogram yang diberikan kepada rakyat, tetapi buat-buat lupa bahawa kerajaan jugalah yang menaikkan harga gula sehinga ia 60% lebih mahal sekarang berbanding sebelum Perdana Menteri mengambil alih kuasa.
  • Perdana Menteri nampaknya cukup berbangga dengan bayaran-bayaran yang diumumkan seperti bantuan persekolahan, bonus kepada bekas perajurit dan lain-lain. Saya nasihatkan supaya Perdana Menteri jangan senyum terlalu lama kerana rakyat tahu bahawa bayaran itu hanyalah bayaran sekali sahaja dalam tahun 2012 yang tidak berkekalan dan berbentuk gula-gula. Jika mereka termakan gula-gula tersebut, selepas pilihanraya kelak rakyat terpaksa memulangkan kembali bayaran-bayaran tersebut melalui cukai barangan dan perkhidmatan yang akan diperkenalkan oleh Perdana Menteri.
  • Namun saya yakin rakyat boleh menilai perkara-perkara ini, kerana mereka juga sedar bahawa bayaran yang besar diberikan kepada golongan yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional termasuk bayaran sejumlah RM3,000 kepada bekas petugas KEMAS dan JASA yang lebih tinggi daripada bentuk-bentuk bantuan lain.
Tan Sri Yang diPertua,
  • Belanjawan yang bertanggungjawab mesti menetapkan dasar-dasar yang akan mengubah struktur ekonomi dan membolehkan anjakan, bukannya pengumuman pemberian hadiah satu tahun sahaja.
  • Perbandingan dengan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 akan menunjukkan bagaimana belanjawan kami menumpukan usaha kembali kepada kerangka dasar serta berusaha menyelesaikan masalah asas:
  • Pengenalan gaji minima untuk melonjakkan paras gaji pekerja seterusnya membantu rakyat berhadapan dengan tekanan kos sara hidup
  • Menghapuskan monopoli dan merombak struktur harga barang-barang komoditi dan kepenggunaan (termasuklah monopoli BERNAS, AP dan lain-lain) untuk menghapuskan herotan harga dan menurunkan harga secara drastik
  • Memperuntukkan subsidi secara berpatutan kepada rakyat dengan mengalihkan peruntukan yang digunapakai oleh sektor korporat dan monopoli sebelum ini
  • Memberi penekanan kepada latihan teknikal dan vokasional termasuk melalui universiti teknikal untuk menyediakan graduan dan tenaga kerja yang berpadanan dengan kehendak industri
  • Peruntukan RM6.9 bilion sebagai pakej bantuan terus (direct assistance package) untuk golongan sasaran
  • Agihan sumber antara pusat dan negeri yang lebih adil mengikut pindaan capitation grant
BAB 7: PENUTUP
  • Rakyat akan menilai janji-janji yang terkandung di dalam Belanjawan 2012 dan Perdana Menteri mempunyai masa yang suntuk sebelum keadaan ekonomi global makin tidak menentu.
  • Sewajarnya Perdana Menteri menunaikan janji-janji terdahulu sebelum cuba menambah janji-janji baru ini, bermula dengan janji reformasi pilihanraya dan pemansuhan ISA yang perlu disegerakan.
  • Saya juga mengingatkan dewan supaya kita insaf bahawa reformasi ekonomi yang berkekalan adalah mustahil tanpa iltizam untuk merubah pendekatan politik dan pentadbiran yang diamalkan pemerintah sekarang. Tidak ada reformasi ekonomi tanpa reformasi politik yang menyeluruh.
  • Jika Perdana Menteri gagal melaksanakan harapan dan tuntutan-tuntutan rakyat ini, nescaya segala usaha menjelmakan dan menjenamakan semula dasar dan program-program yang gagal tidak akan berjaya meredakan hasrat rakyat yang mahukan perubahan.
  • Dengan ingatan itu kepada diri saya dan seluruh dewan, saya sudahi dengan wassalam.



credit to DSAI

No comments: